Bab 2




Rambang mata Adni memilih kek untuk Nuha, anak saudaranya. Nuha tidak kisah kek jenis apa pun yang dipilih. Tetapi, kesemua kek kali ini kelihatan amat menyelerakan. Matanya terpandang kek Marble Cheese. ‘Cik nak yang mana?’ tanya pekerja kedai kek Secret Recipe itu. ‘Erm, saya nak yang ni.’ Jawab Adni sambil menunjukkan kek Marble Cheese tersebut kepada pekerja itu.  Selepas siap membuat pembayaran, Adni terus keluar. Tiba-tiba matanya terpandang seseorang. Hajar. Pelajar perempuan tingkatan 5 itu sedang menuju ke arah lorong di hujung bangunan. Gadis itu masih berpakaian sekolah sedangkan jam telah menunjukkan pukul 5 petang. ‘Buat apa pula budak ni kat sini. Dah lewat ni.’ Bisik Adni sendiri. Kakinya pantas sahaja mengekori langkah Hajar. Langkah Adni terhenti apabila mendapati Hajar sedang memasuki sebuah hotel murah. Hatinya berdebar-debar. ‘Hajar!’ Adni pantas memanggil gadis itu. Namun panggilannya tidak diendahkan. Hajar terus masuk ke hotel itu tanpa langsung menoleh. Adni geram. Dia turut masuk ke hotel itu. Namun, langkahnya ditahan oleh seorang lelaki Cina. ‘Cik nak sewa bilik ke?’ tanya lelaki itu sambil tersenyum mesra. Adni mati akal. ‘Erm, saya datang dengan adik saya tadi.’ Tipu Adni. ‘Oh yaka, masuk lah.’ Jemput lelaki itu. Mungkin di sebabkan hotel ini hanyalah hotel murah, tidak terlalu ketat pengawalannya. Fikir Adni sendiri. Adni pantas menaiki tangga. Ada empat bilik yang saling bertentangan. Dia berdiri sambil mengeluh perlahan. ‘Tak kan lah Hajar ni buat kerja tak bermoral pula. Ya Allah, bantulah dia.’ Doa Adni dalam hati sambil mengintai-intai di celah-celah pintu seolah-olah ada sahaja ruang untuk dia intai. 

‘Keluar!’ tiba-tiba ada suara tengkingan lelaki dari belakang. Adni nyaris-nyaris melompat terkejut. Dia terus menoleh. Kelihatan pintu salah satu bilik hotel terbuka. Dari arah bilik itu Hajar keluar sambil membetul-betulkan rambutnya yang agak kusut. Adni beristighfar panjang melihat keadaan Hajar. ‘Hajar.’ Panggil Adni sambil mendekati Hajar. Hajar hanya selamba. ‘Awak buat apa kat sini? Siapa lelaki tu?’ tanya Adni dengan nada yang agak tinggi. Hajar hanya diam. Lelaki di balik pintu itu menjengukkan kepalanya lantas terus keluar menghampiri mereka. Adni memandangnya dengan pandangan yang tajam. Inilah manusia yang bertopengkan syaitan. Sanggup mempergunakan remaja untuk melempiaskan nafsunya. ‘Adik awak ke ni? Masuk bilik saya sesuka hati je. Awak jaga dia elok-elok sikit.’ Lelaki itu bersuara sambil memandang tepat ke arah Adni. Hajar pantas mendongak. ‘Awak yang suruh saya datang, lepas tu awak halau saya pulak?’ ujar Hajar. Wajah lelaki itu kelihatan terperanjat. ‘Saya tak kenal awak la.’ Marah lelaki itu. Adni memandang bergilir-gilir antara lelaki itu dengan Hajar. ‘Dah la, saya nak minta duit yang awak janji nak beri pada saya. Cepatlah.’ Hajar menghulurkan tangannya meminta. ‘Astaghfirullah al-azim, kenapa dengan adik awak ni? Saya tak kenal dia la.’ Lelaki itu memandang ke arah Adni pula. Adni yang tadi hanya mendengar pertelingkahan mereka berdua, mendengus keras. ‘Hajar, siapa lelaki ni? Awak jangan nak tipu saya.’ Pandangannya jatuh ke wajah Hajar yang langsung tiada riak bersalah. Hajar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sebelum bersuara. ‘Dia ni bayar saya untuk layan dia la cikgu. Dah lama dah. Hari ini saya nak minta la bayaran yang dia asyik tunda-tunda tu.’ Kata-kata Hajar mengejutkan Adni. Pandangan Adni terus ke arah lelaki itu pula. Lelaki itu turut terkejut dengan mata yang membulat. Wajahnya kemerahan menahan marah. ‘Apa nak jadi dengan manusia macam awak ni? Dia ni budak sekolah. Orang macam awak ni memang tak guna. Hidup asyik merosakkan anak bangsa sendiri.’ Marah Adni. Nafas lelaki itu turun naik. Marah barangkali setelah rahsianya terbongkar ditambah pula dengan kata-kata pedih Adni. ‘Lebih baik awak bawa adik awak atau anak murid awak ni pergi sebelum saya hilang kesabaran.’ Kata-kata lelaki itu membuatkan Adni pula naik angin. ‘Awak ingat, awak je ada tahap kesabaran. Apa yang awak buat ni, langsung tak dapat diterima tau. Tak sangka saya, muka aje baik, tapi hati busuk!’ balas Adni. ‘Saya dah beritahu tadi saya tak kenal dia kan. Awak yang tak percaya. Percaya la sangat budak ni. Orang macam awak ni hanya tahu menjatuhkan hukum tanpa menilai dulu. Dan awak, budak sekolah. Teruskanlah menipu. Allah maha mengetahui.’ Adni terasa jelek mendengar kata-kata lelaki itu seolah-olah lelaki itu sedang berpura-pura tidak bersalah. Adni pantas sahaja membuka penutup kotak kek yang masih dipegangnya itu. Dengan perasaan marah, dia menempelkan kek itu tepat ke wajah lelaki itu. Lelaki itu terkejut besar. ‘Sedap kan? Secret Recipe punya kek tu. Habiskan ye.’ Balas Adni lantas menarik tangan Hajar turun ke bawah. Hajar yang terkejut dengan  tindakan drastik gurunya itu ternganga. ‘Apa ni. Gila!’ suara lelaki itu bergema di tingkat atas. 

No comments:

Post a Comment