‘Adni, tolong taip semula nama-nama peserta ni. Entah apa-apa la yang Zul ni tulis. Banyak ejaan salah. Nanti nak buat sijil, nak kena edit itu la, ini la.’ bebel kak Azian, wanita seawal 40 an itu. Adni yang sedang menulis laporan mengajarnya pantas menoleh. ‘Tak ada soft copy ke kak? Senang sikit saya nak edit.’ Adni bertanya pula. ‘Tak payah la. Akak dah serabut sangat dah ni. Folder akak tunggang langgang. Awak taip balik je la. Bukan banyak pun nak kena taip.’ nada kak Azian agak tinggi. Tertekan sangat agaknya. Fikir Adni. Adni tanpa menjawab, terus sahaja mengambil senarai nama tersebut dari tangan kak Azian sebelum wanita itu berlalu pergi. Dibelek-belek nama peserta yang akan mengikuti kursus solat anjuran sekolah tempat mengajarnya itu. Dia mengeluh perlahan. Kerja seorang guru bukan mudah sebenarnya. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Ditambah pula dengan guru-guru senior yang tidak habis-habis meminta bantuannya untuk menyelesaikan tugas mereka. ‘Bila la nak habis penat ni.’ bisik Adni sendiri. ‘Penat nampak.’ tiba-tiba ada satu suara yang menyapa. Adni pantas mendongak. Zul Majdi, guru muda di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Berendam itu tersenyum-senyum memandangnya. ‘Banyak la Cikgu Zul oi.. ni ha.. kerja awak yang buat entah apa-apa ni. Saya jugak yang kena edit.’ marah Adni sambil menunjukkan senarai nama tersebut. Zul Majdi ketawa. ‘Kenapa awak terima jugak nak buat kerja tu. Kalo kak Azian tu minta tolong, buat tak tau aje.’ balas Zul Majdi. ‘Buat tak tahu? Baguslah sangat idea tu.’ Adni menjeling sekilas. Lelaki di hadapannya itu terus ketawa. ‘Ketawa la kuat lagi. Biar satu bilik guru ni dengar.’ Kata-kata Adni membuatkan Zul Majdi terus ketawa. Adni terus tunduk menyelesaikan tugasnya. Malas melayan tawa guru itu. Zul Majdi yang kepenatan ketawa terus meninggalkannya.
Zul Majdi duduk di tempatnya. Direnung Adni dari jauh. Nur Adni Sulaiman, guru muda yang mengajar pendidikan Bahasa Melayu itu bukanlah secantik bidadari. Namun, wajahnya amat mendamaikan. Matanya yang bundar menambahkan lagi kecantikan wajahnya yang asli. Zul Majdi tersenyum sendiri. Pernah dia meluahkan perasaan sukanya pada Adni. Wanita itu mentah-mentah menolak lamarannya. Kata wanita itu, dia sedang menantikan seseorang. Zul Majdi tidak mahu ambil tahu tentang itu. Yang penting, perasaan malunya kerana ditolak cinta itu telah lama hilang. Mungkin kerana Adni sendiri yang bersikap selamba. Sikap itu jugalah yang membuatkan dia makin meminati Adni. Adni terlalu selamba sehinggakan sukar untuk melihat wanita itu marah, sedih, suka ataupun apa-apa perasaan yang lain. Tetapi, sekali Adni menunjukkan perasaan-perasaan itu, dia kelihatan amat menarik. Pandangan Zul Majdi disedari Adni. Adni memandangnya dengan wajah marah. Dia pantas terbatuk-batuk kecil. Malu. Apabila nampak Adni menyambung balik kerjanya, Zul Majdi mengetuk-ngetuk kepalanya. ‘tak habis-habis fikir pasal dia’ bisik Zul Majdi sendiri.
No comments:
Post a Comment