Wednesday, 2 January 2013

Kisah Di Sebalik Gambar


Anda kenal siapa Kevin Carter? Jika saya tidak belajar Pendidikan Moral, maka saya sendiri tidak akan kenal lelaki ini..



27 Julai 1994, Dunia Kewartawanan dikejutkan dengan berita kematian Kevin Carter.. Mayat Carter ditemui di dalam trak di tebing sungai Braamfonteinspruit, Afrika Selatan, tempat dia sering bermain ketika kanak-kanak dahulu.. Wartawan foto itu membunuh diri dengan cara menyalurkan asap dari ekzos ke dalam kenderaannya menggunakan salur getah.. Di sisi mayat Carter terdapat sekeping nota yang ditinggalkannya.. Nota itu berbunyi: 

'I am depressed.. without phone.. money for rent.. money for child support.. money for debts.. money!!.. I am haunted by the vivid memories of killings and corpses and anger and pain.. of starving or wounded children, of trigger-happy madmen, often police, of killer executioners.. I have gone to join Ken if I am that lucky..'

"aku tertekan... tiada telefon... duit sewa... duit untuk membantu kanak-kanak... hutang... duit!!! aku dihantui ingatan-ingatan menakutkan tentang kematian, mayat, kemarahan, kesakitan.. kanak-kanak yang kebuluran dan luka, orang yang gembira apabila melakukan kerosakan, biasanya polis, si pembunuh.. aku ingin pergi untuk menyertai Ken, itu pun kalau aku bernasib baik."

Ken Oosterbroek adalah sahabat baik Carter. Dia terbunuh sebulan sebelum itu di Tokoza, Johannesberg, akibat tertembak secara tidak sengaja semasa merakamkan gambar pertempuran di kalangan pemberontak di bandar itu.

Melalui sahabat-sahabat Carter, akhirnya diketahui mengapa Carter membunuh diri serta punca-punca dia mengalami tekanan melampau. Cerita ini boleh dijadikan renungan untuk kita agar bersyukur dilahirkan di bumi yang bertuah ini. Baca dan hayati :-

Mac 1993, Kevin Carter berlepas dari Afrika Selatan menuju ke Sudan untuk membuat liputan tentang pemberontakan yang berlaku di negara itu. Apabila tiba di Sudan, Carter mendapati pemberontakan bukanlah masalah terburuk di negara berkenaan, tetapi kebuluran.

Ketika melewati sebuah kampung, tiba-tiba Carter terdengar rengekan seorang kanak-kanak. Langkah Carter terhenti. Dia memerhati sekeliling dan mendapati ada seorang kanak-kanak perempuan sedang menyangkung di atas tanah, tidak jauh darinya. Kanak-kanak yang tidak berpakaian itu sedang duduk melepaskan lelah kerana tidak berdaya lagi untuk berjalan ke pusat bantuan makanan. Si kecil itu menundukkan kepalanya ke tanah dan memejamkan mata. Nafasnya lemah, tulang-tulangnya membonjol keluar.

Tidak sampai 5 meter darinya, seekor burung hering berdiri memerhati seolah-olah berkata,"andainya engkau mati sebentar lagi, engkau akan kujadikan habuan. Daging engkau yang sedikit itu akan kucarik-carik, perut engkau akan ku koyakkan, dan sisa-sisa darah engkau akan kuhirup sampai habis". Carter tidak jadi memetik punat kameranya. Dia sebaliknya menunggu si burung hering meninggalkan kanak-kanak tersebut. Tetapi selepas 20 minit menanti, burung itu tidak juga mahu berganjak.

Carter tidak menunggu lama. Lantas dia menghalau burung tersebut dan memetik kameranya. Kemudian Carter bergegas pergi untuk merakam gambar di tempat dan situasi lain pula.

Gambar itu dijualnya kepada akhbar The New York Times dan pada 26 Mac 1993, ia disiarkan. Tanpa diduga, hari itu pejabat The New York Times tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada pembaca yang bertanyakan nasib kanak-kanak tersebut. Esoknya, pengarang akhbar tersebut menjawab pertanyaan itu dengan mengatakan , kanak-kanak berkenaan masih mampu berjalan. Dia tidak jadi mangsa burung hering tapi nasibnya selepas itu tidak diketahui.

Setahun kemudian, iaitu pada 2 April 1994, Carter mendapat panggilan telefon daripada pengarang berita luar negara The New York Times bahawa, gambar berkenaan telah dipilih sebagai pemenang utama hadiah fotografi Pulitzer Prize. Carter menerima award itu pada 23 Mei 1994 dalam satu majlis yang gilang gemilang di Columbia Universiti, Amerika Syarikat. Nama Carter serta merta melonjak naik kerana bagi golongan wartawan, hadiah Pulitzer adalah anugerah tertinggi dalam karier mereka.


Foto inilah yang membolehkan Carter memenangi hadiah Pulitzer, tetapi foto ini juga yang meragut nyawanya.

Bagaimanapun, 2 bulan kemudian, iaitu pada 27 Julai 1994, dunia kewartawanan dikejutkan dengan kematian Kevin Carter. Sahabat-sahabat Carter mengatakan detik-detik merakamkan gambar kebuluran di Sudan, khususnya kanak-kanak yang terkulai di tanah menanti nasibnya diratah si burung hering telah menghantui hidup jurugambar tersebut. Menurut mereka, sebaik pulang dari tugasan itu, Carter duduk bersendirian di bawah sebatang pokok dan menangis tidak henti-henti.

Carter memberi tahu rakannya, dia tertekan. Dia cuba untuk melupakan kanak-kanak tersebut, tetapi gagal. Kecaman pelbagai pihak yang marah kerana dia tidak membawa kanak-kanak itu ke pusat bantuan makanan bagi memastikannya benar-benar selamat daripada ancaman burung hering sebaliknya hanya mementingkan profesion melebihi naluri kemanusiaan hakiki menambahkan lagi tekanan itu. Walaupun Carter menjelaskan dia tidak berani menyentuh kanak-kanak kerana bimbang dijangkiti penyakit, tetapi kecaman yang diterimanya itu terlalu berat untuk ditanggungnya. Ditambah dengan masalah kewangan yang menghimpitnya, akhirnya Carter membunuh diri.



Kisah perjalanan Kevin Carter juga difilemkan dengan tajuk 'The BangBang Club' lakonan Taylor Kitsch..

Kisah gambar ini sangat menyentuh hati saya.. Gambar kanak-kanak ini sangat menghibakan.. Ya Allah, kenapa begitu berat dugaan yang Engkau berikan kepada mereka? Namun, saya pasti ada hikmah di setiap ketentuan Allah.. Kesusahan, kepedihan, kekejaman yang mereka rasakan merupakan 'alat' muhasabah diri kepada kita.. Kita terlalu gembira dengan kesenangan yang kita ada hingga terlupa kepada mereka yang hanya menunggu mati kerana kelaparan dan kesengsaraan.. Carter membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesedihan dalam dirinya.. Maka kita? Berdoalah kepada mereka dan bersederhanalah.. 

Wallahua'lam

2 comments: